“Aku ni banyak buat dosa sebab tu aku tak berjaya…”
Pintu keampunan Tuhan sangat luas, sebesar mana kesalahan kita besar lagi rahmat keampunanNya. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Samada kesilapan yang sengaja dan tidak disengajakan. Mohonlah keampunan segera kepadaNya sejurus sahaja tersedar daripada melakukan kesilapan. Itulah bukti keampunanNya. Seorang manusia yang waras tidak mengulangi kesilapan yang sama.
Kami memuliakan Bani Adam dan membawa mereka di darat dan laut, dan merezekikan mereka dengan benda-benda yang baik, dan kami memberi mereka banyak kelebihan yang lebih baik diantara makhluk yang kami cipta . (Surah Bani Israil : 70)
Ambillah iktibar daripada cerita lembu sebagai pengajaran untuk kita. Kita adalah sebaik makhluk ciptaan Tuhan, sudah tentu kita lebih bijak daripada lembu. Usah biarkan diri sentiasa dibelenggu dengan kesalahan lalu. Suara “kecil” didalam diri sememangnya akan sedaya upaya mencari jalan untuk menarik kita supaya tidak kehadapan. “Ko tu banyak dosa, mana boleh berjaya doh!”,”Tuhan takkan bagi rezeki melimpah kat kau, cuba ko ingat apa yang ko dah buat” dan banyak lagi bisikin-bisikan sinis yang dibisikkannya.
Wahai sahabat ku yang dikasihi, pedulikan kata ‘si kecil’ tu. Terdetik dihati dengan kesilapan lalu, kesal dengan perbuatan yang pernah dilakukan, lalu bertekad tidak mengulangi kesilapan, itulah keampunan. ‘Detik’ itu hadir lebih awal daripada segalanya. Betapa Maha Pengasih, Maha Pengampun, Maha Penyayang-Nya Dia kepada kita. Disedarkannya kita. Apakah kamu tidak melihat?
“Tiada Tuhan selain kau, Maha Suci engkau. Sesungguhnya aku dikalangan orang yang zalim”
Setelah ‘bangkit’ daripada kesilapan lalu, berbuat baiklah kepada siapapun, raihlah KEJAYAAN untuk kepentingan semua, kerana dengan berbuat baik kita dapat menjauhkan diri daripada kemungkaran/kesilapan.
2:112. Ia, sesiapa yang menundukkan wajahnya (mukanya/kehendaknya) kepada Allah, sedang dia seorang yang berbuat baik, maka upahnya adalah di sisi Pemeliharanya, dan tiada ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.
3:134. Yang menafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan menahan kemarahan mereka, dan memaafkan manusia; dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik,
10:26. Bagi orang-orang yang berbuat baik adalah yang paling baik, dan tambahan; tiada kegelapan, dan tiada juga kehinaan akan menutupi muka-muka mereka. Mereka itu orang-orang Taman , di dalamnya tinggal selama-lamanya.
11:115. Dan bersabarlah kamu, kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan upah orang-orang yang berbuat baik.
Dan yang paling penting, berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa kita, Insyaallah hidup lebih berjaya dan kaya dunia akhirat.
46:15. Kami mewasiatkan manusia, bahawa dia berbuat baik kepada ibu bapanya; ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah; pengandungannya dan penyusuannya tiga puluh bulan. Sehingga, apabila dia sampai dewasa, dan sampai empat puluh tahun, dia berkata, "Wahai Pemeliharaku, sediakanlah aku supaya aku berterima kasih atas rahmat Engkau, yang dengannya Engkau merahmati aku dan bapa dan ibuku, dan supaya aku membuat kerja-kerja kebaikan yang memuaskan hati Engkau, dan betulkanlah aku, dan juga pada keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan aku termasuk orang-orang yang muslim (tunduk patuh)."