Seni Bela Diri : JUDO |
Antara sekian banyak perkongsian Shah Sovi semalam, saya tertarik dengan kisah seorang ahli judo berlengan sebelah.
Menurut ceritanya, si penjudo adalah seorang yang tangkas dalam arena seni bela diri judo. Dia berlatih siang dan malam untuk memperkasa ketangkasan gerakannya. Kehebatannya diakui rakan dan lawan. Dia si jaguh yang selalu menang banyak perlawanan.
Namun, malang tidak berbau. Pada satu hari, dia terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan tangan kirinya kudung hingga ke bahu. Hanya tangan kanannya sahaja yang terselamat. Dia dilanda kemurungan walaupun pada hakikatnya dia masih mampu berdiri dengan kedua-dua belah kakinya, nasibnya tidak seperti Nick Vujicic.
Melihatkan kemurungannya yang berpanjangan, jurulatihnya yang lebih jaguh dari si jaguh judo ini mendekatinya.
Entrepreneurial Development Program (EDP) |
"Guru, tidakkah kau nampak keadaan aku sekarang ni? Aku sudah cacat. Bagaimana mungkin aku dapat mengalahkan lawan yang lebih kuat, tangkas dan sempurna anggotanya daripada aku yang kudung sebelah ini?", si penjudo mengalah sebelum kalah.
"Usah kau khuatiri kehebatan mereka. Fikirkan kemampuanmu, anakku. Dalam judo, seperti juga dalam silat dan seni bela diri lainnya, terdapat kunci rahsia untuk setiap gerakan. Bersabarlah, aku akan mengajar dan melatihmu hingga kau bersedia mengunci gerak langkah mereka. Kau tak perlu menyerang, memadai kalau kau dapat bertahan.", si jurulatih terus membakar semangatnya.
"Ajarkan aku, guru!", dia akhirnya bersetuju. Mereka berlatih lagi siang dan malam hinggalah tarikh pertandingan tiba. Seperti yang dijangka jurulatihnya, si penjudo berlengan sebelah berjaya menakluki gerak langkah setiap lawannya dengan teknik 'kunci dan tahan'.
Lawan demi lawan ditewaskan, hinggalah dia didepankan dengan lawan akhirnya, seorang penjudo Rusia yang gagah perkasa, berganda tinggi dan besar saiz badannya. Penjudo berlengan sebelah gugup memandang lawan barunya itu. Dia memandang ke sudut dewan perlawanan, cuba menzahirkan rasa ragu yang mula melitupi keyakinannya untuk terus menang.
"Kau boleh, anakku! Kunci dan tahan!", jurulatihnya memberi restu.
Untuk sekian kalinya, penjudo berlengan sebelah menang lagi. Dia mendekati jurulatihnya dan bertanya,
"Guru, terima kasih kerana mengajarkan aku kunci rahsia. Namun, aku masih musykil. Aku fikir kau telah menipuku. Mana mungkin aku boleh mematikan gerak langkah mereka semua begitu sahaja. Bukankah dalam judo, setiap kunci memiliki anak kuncinya tersendiri? Kenapa gerakan kunci aku tak dapat dibuka seorang pun di antara mereka? Beritahulah aku apakah anak kuncinya, guru?", dia bertanya dengan perasaan ingin tahu yang meluap-luap.
"Anak kuncinya terletak pada tangan kirimu, anakku", ringkas jurulatihnya menjawab.
Terkedu dengan jawapan si jurulatih, dia akhirnya memahami bahawa kekurangan dirinya itulah satu kekuatan baru untuknya.
Sumber NDivineResources
Biografi PENULIS :
N Hanizah Ramli , seorang pembantu maya sepenuh masa, penulis bebas separuh masa.
Kini, beliau sedang bergerak aktif membangkitkan kesedaran para belia mengenai kepentingan HARTANAH dan PELABURAN hartanah melalui non-profit movement ; "Akademi Hartawan Hartanah" yang diasaskan oleh Tuanbri Hashim dari Satu Solution Corporate Services.
Untuk mengenali penulis, boleh layari website beliau di www.ndivineresources.com
Sumber INSPIRASI Kejayaan Anda